Bercakap tentang nasib dan masa depan bangsa Melayu kita sebenarnya melangkaui soal Umno, Pas atau PKR malah DAP. Bahkan bila menyentuh tentang nasib bangsa Melayu, tidak bermakna kita mula menyentuh soal perkauman.
Pisahkan erti perkauman bila membicarakan ‘survival’ bangsa. Parti politik seperti Umno, Pas atau yang terbaru PKR boleh disabitkan dengan soal masa depan bangsa Melayu kerana antara tiga kelompok parti ini ianya dianggap mewakili perjuangan bangsa Melayu.
Kalau mahu dikira siapa yang paling layak untuk membincangkan tentang hala tuju dan nasib bangsa Melayu, kita kira hanya Umno dan Pas setakat ini berhak dan layak membicarakan tentang nasib bangsa Melayu kerana dua parti ini secara total mewakili orang Melayu.
PKR atau Parti Keadilan Rakyat masih tidak berhak dan layak untuk memperkatakan tentang nasib bangsa Melayu kerana secara logiknya keahlian dan perjuangannya bukan untuk orang Melayu. Malah mereka sendiri mengakui bahawa PKR sebuah parti pelbagai kaum. Jadi soal orang Melayu serah pada Umno dan Pas untuk membincang dan memperkatakan tentang untong nasib orang-orang Melayu.
Selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) yang menyaksikan Barisan Nasional, parti gabungan tersebar yang diketuai oleh Umno kehilangan lima negeri dan gagal membentuk kerajaan majoriti 2/3, nasib dan masa depan orang Melayu mula dihantui kebimbangan.
Nada kebimbangan bukan sahaja datangnya dari Umno, yang dianggap tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pilihan raya kali ini, sebaliknya kebimbangan juga datang dari Pas. Secara rasional kita perlu bertanya, kenapa Pas perlu merasai kegusaran tentang nasib dan masa depan orang Melayu sedangkan parti tersebut bolehlah dianggap mencapai kemuncak kecemerlangan pada pilihan raya kali ini.
Kenyataan Presidennya Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang mempelawa Umno, PKR malah DAP untuk mula duduk semeja membincang dan membicarakan tentang nasib orang Melayu, harus dilihat dalam sudut positif meskipun kita tidak boleh menolak ‘niat’ politik, jika ada.
Pertama, kalau mahu berbicara soal menang, ternyata Pas boleh berbangga dengan prestasi partinya pada pilihan raya kali ini. Kalau orang menang, untuk apa perlu berbincang dengan orang yang kurang menang, walaupun tidak kalah.
Di sini nampak ada sedikit keikhlasan Pas. Walaupun menang tetapi demi masa depan bangsa sanggup untuk memulakan langkah untuk berbincang dengan Umno. Sepatutnya orang kalah yang akan memulakan langkah sebegini. Pas sanggup memulakan langkah ini ketika menang.
Namun, masih ada kemungkinan Pas merasakan walaupun menang dengan 23 kerusi parlimen, tetapi kemenangan tersebut masih kurang bermakna kerana terpaksa menumpang menang dengan pertolongan rakan lain seperti PKR dan DAP.
Apapun, kita anggap kesediaan Hadi Awang sebagai kesediaan demi masa depan orang Melayu dan bukanya demi masa depan Pas sahaja.
Ada kemungkinan, Hadi Awang sudah mula menyedari bahawa antara Umno dan Pas sudah tidak ada garis pemisah lagi. Kalau dahulu Pas memperjuangkan Negara Islam dan sekian lama sanggup berjuang sendirian dan hasilnya hanya mampu bertahan di Kelantan.
Tetapi pilihan raya kali ini setelah mencuba beberapa kali idea pakatan bersama rakan yang lain, akhirnya untuk kali ini Pas meraih kemenangan besar. Kejayaan mengekal kuasa di Kelantan serta merebah Barisan Nasional di Kedah serta menambah kerusi Parlimen sehingga 23 kerusi, menjadikan Pas mula berfikir, untuk menang tidak boleh bersendirian. Meskipun terpaksa bersama dengan DAP dan PKR.
Kalau ini sebenarnya yang sedang berlaku, apa bezanya Pas dengan Umno? Dan untuk apa Pas berada bersama Pakatan Rakyat kalau antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional juga tidak ada bezanya.
Ada kemungkinan lain, Hadi Awang sudah mula terasa kurang bernilai bersama Pakatan Rakyat yang diketuai oleh seorang wanita dengan dinasihati oleh sang suami. Atau, Pas hanya menurut segala keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat yang didominasi oleh PKR dan DAP.
Kalau dulu Pas menentang Umno kerana dianggap bekerjasama dengan bukan Islam dibawah pakatan BN. Hari ini, pakatan yang hampir sama dinaungi oleh Pas bersama Pakatan Rakyat. Sedangkan Pas tetap mahu memperjuangkan sebuah Negara Islam dan untung nasib orang Melayu.
Jika sudut ini dilihat, kita merasakan kenyataan Presiden Pas untuk memulakan perbincangan dengan Umno tentang nasib masa depan orang Melayu adalah permulaan yang baik. Pas bersedia mengenepikan sedikit perbezaan idelogi perjuangan demi masa depan orang Melayu.
Manakala disebelah Umno, Ketua Penerangannya Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib sudah menyambutnya. Meskipun kenyataan Tan Sri agak bersifat peribadi, namun huluran tangan Pas sudah bersambut. Ini bermakna bahawa tidak mustahil Umno dan Pas duduk semeja bagi membincangkan tentang masa depan Melayu walaupun terlalu awal untuk ‘mengusik’ samada mustahil atau tidak Pas dan Umno berada dalam satu gabungan.
Bagi Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bersetuju dengan cadangan Hadi Awang semata-mata melihat dan menyedari perlunya bangsa Melayu terus menjadi bangsa berdaulat dan bermaruah di bumi ini. Jika mahu di nilai dari segi politik Umno masih mampu mengetuai Barisan Nasional untuk terus memimpin Negara ini walaupun tanpa Pas. Tetapi kita yakin bahawa kesudian Muhammad Taib dalam perkara ini lebih bersandar kepada soal masa depan bangsa Melayu.
Eloklah selepas ini sekiranya ada tindakan susulan dalam memuktamadkan perkara ini kerana tidak ada jaminan bahawa Melayu akan terus mendominasi Negara ini sekiranya kelompok ini terus berpecah hanya semata-mata kerana fahaman sempit politik kepartian masing-masing.
No comments:
Post a Comment