Saya setuju dengan saranan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengajak UMNO bertemu dan berbincang mengenai hal orang Melayu.
Saya melihat saranan ini sebagai suatu yang sangat menarik dan perlu difikirkan dengan serius oleh UMNO.
Kecelaruan yang timbul di kalangan Melayu semakin jelas apabila bangsa itu dilihat sudah mula tidak peduli beberapa perkara yang dianggap penting.
Ada orang Melayu hari ini yang dilihat sudah tidak kisah dengan Dasar Ekonomi Baru, tidak peduli dengan perjanjian-perjanjian lampau. Semuanya hendak dilanggar atas kepentingan peribadi.
Saya melihat bangsa Melayu sudah lari daripada matlamat asal perjuangan kita. Saya nampak ada orang-orang yang tidak peduli tentang itu semua.
Saya fikir sangat elok untuk wujudkan satu persefahaman bagi menuju kepada matlamat itu untuk membicarakan hal Melayu.
Memandangkan kita sedang membina satu bangsa, kita mesti mempunyai kekuatan menuju pembinaan satu bangsa yang kuat.
Saya lihat apa yang berlaku sekarang dari segi kecelaruan di kalangan orang Melayu diibaratkan seperti pepatah ‘harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Kita baru merdeka 50 tahun, kata orang baru nak ‘kick off’ tiba-tiba berlaku kekalutan ini di kalangan orang Melayu.
Matlamat kita untuk membina satu bangsa yang maju, satu kaum yang kuat. Oleh itu mesti ada ketenangan bagi bangsa Melayu untuk mencapai matlamat itu. Takkan selepas 50 merdeka kita makin berpecah.
Kita perlu ada satu kekuatan bangsa. Jika Melayu bersatu kita boleh membina satu bangsa. Kita mesti pertahankan bangsa Melayu.
Orang Melayu perlu sedar betapa sukarnya untuk kita memerdekakan negara dulu, membebaskan bangsa kita (Melayu) dari penjajah. Kita melalui pahit getir dan segala kepayahan untuk maju seperti hari ini.
Oleh itu jangan anggap ini hanya untuk jangka masa pendek. Kita perlu melihat ia untuk jangka masa panjang, untuk generasi akan datang.
Saya harap Datuk Seri Hadi Awang serius dalam perkara ini dan dia bercakap mewakili partinya PAS. Jangan esok, lain pula cakap.
No comments:
Post a Comment