Pengakuan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau akan berbincang dengan timbalannya Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak tentang kaedah dan pendekatan peralihan kuasa seharusnya mendapat sokongan daripada pimpinan parti dan ahli akar umbi.
Kesediaan Pak Lah untuk membincangkan peralihan kuasa kepada Najib menepati tradisi dan adab dalam Umno yang diamal selama ini. Ini hakikat dalam parti kita Umno berhubung dengan kepimpinan tertinggi parti.
Banyak hikmahnya kepimpinan tertinggi berlaku melalui peralihan kuasa daripada pertandingan atau perletakan jawatan. Peralihan kuasa mampu mengelak perpecahan yang besar dalam parti apatah lagi jika berlaku perletakan jawatan, sudah tentu parti akan terumbang ambing.
Saya agak hairan kenapa banyak pihak dalam Umno yang melihat keputusan pilihan raya umum ke 12 (PRU12) sebagai kesalahan seratus peratus ke bahu Pak Lah. Tidakkah kepimpinan negeri, bahagian dan cawangan juga harus mengambil tanggongjawab ini, memikul kekalahan ini sebagai tanggungjawab bersama.
Bukan salah Pak Lah sorang tentang merosotnya prestasi BN dalam pilihanraya umum lalu. Ini yang sepatutnya kita bincang dan ‘bedah’ untuk mencari kelemahan sekaligus membaiki agar pilihan raya akan datang kita mampu meraih sokongan dan kemenangan semula.
Jangan kita ahli-ahli Umno terpengaroh dan terikut-ikut dengan sentimen pihak pembangkang yang menyandar seratus peratus ke bahu Pak Lah dengan mendesak beliau berundur.
Mana budaya, adat dan adab kita dalam Umno. Memberi pandangan tidak salah, berbeza pendapat juga tidak salah tetapi jangan sampai memaksa dan mendesak. Itu bukan budaya Umno.
No comments:
Post a Comment