Tuesday, April 29, 2008

Pertemuan singkat tapi besar maknanya…



Tanggal April 26 dan 27 memberi kepuasan serta pengalaman penuh bermakna kepada saya dan isteri apabila kami membuat lawatan serta bermalam di rumah penduduk kampung di Pulau Pinang dan Kedah.

Bukan itu sahaja, malah saya dan isteri Asbi Rohani sempat beramah mesra dengan penduduk setempat sambil menyelami kesusahan serta kesulitan yang mereka hadapi.

Ini semua saya lakukan semasa membuat lawatan kerja bagi melihat sendiri kemiskinan di luar bandar serta bertemu dengan ketua-ketua kampung serta pengawai-pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat atau Kemas.

Destinasi hari pertama di Kampung Telok, Sungai Dua, Seberang Perai, saya dan isteri ke rumah Puan Zainab Osman, berusia 71 tahun dan mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya lumpuh. Mereka berumur dari 41 tahun hingga 54 tahun.

Saya dan isteri tersentuh hati apabila melihat Puan Zainab membelai anak-anaknya dengan penuh kasih sayang walaupun dalam keadaan daif dan serba kekurangan.

Melihat keadaan itu, saya mengarahkan KEMAS memberi bantuan sepenuhnya, bukan sekadar bantuan makanan kerana Puan Zainab memerlukan perhatian lebih dari itu.

Begitu juga di Kampung Cheenam, Nibong Tebal, dimana Puan Sabariah yang tinggal dalam rumah bertiang yang usang membela seorang anak cacat berumur 18 tahun. Saya mengarah KEMAS membina sebuah rumah yang lebih selesa dan berlantai simen bagi menyenangkan beliau membela anak yang cacat.

Pada sebelah malamnya, saya dan isteri bermalam di sebuah rumah penduduk di Kampung Sungai Pulut di Baling, Kedah. Kesempatan ini saya sempat berjemaah di masjid Kampung Betong sambil beramah mesra dengan anak kariah di situ.

Dalam majlis dialog bersama lebih 100 penduduk Kampung Sungai Krik pula, saya telah meminta ibu bapa supaya berhati-hati dengan anak-anak perempuan mereka agar tidak terpedaya dengan lelaki warga asing serta terjebak dalam kancah maksiat atau jenayah pengedaran dadah.

Seawall pagi 27 April, saya berpeluang berjemaah Suboh di Masjid Kampung Betong, bersembang sambil menghirup kopi dan menjamah kuih kampung di beranda masjid. Kami bercerita bagaimana hendak meningkatkan kemajuan di kampung dan bagaimana untuk menambat hati anak-anak mjuda agar balik ke kampung untuk sama-sama membangunkan kampong halaman sendiri.

Saya juga sempat menyertai gotong-royong membersih sekitar masjid itu. Saya juga sempat mengadakan majlis dialog dengan qariah Kampung Jubai Bawah di Kulim, Kedah, untuk mendengar dan melihat sendiri keluhan penduduk.

Sesungguhnya, pulang dari sana, saya dan isteri berasa puas kerana kami dapat mendengar sendiri keluhan penduduk kampong serta menyelesaikan serba sedikit masalah-masalah rakyat yang kami lawati.

Saya akan terus membuat lawatan sambil bermalam di kampung-kampung setiap tiga minggu sekali untuk melihat serta menyelesaikan masalah-masalah rakyat sekadar yang terdaya.

Sunday, April 27, 2008

Salam Rakan Blogger

Saya masih di pejabat. Sempat tengok sekejap komen-komen yang masuk. Jangan risau teruskan menulis pandangan anda. Kesempatan malam nanti saya cuba menjawab. Terima kasih

Suruhanjaya Anti Rasuah bukti kerajaan telus

Saya mengalukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengstruktur semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.

Bagi saya ini bukti kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telus dan bersungguh untuk memerangai gejala rasuah di negara ini. Sekaligus ini akan meningkatkan lagi imej negara di mata dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang serius dan bersungguh-sungguh memerangi gejala rasuah.

Kerajaan melakukan ini bukan kerana tekanan mana-mana pihak tetapi lebih kepada keperluan dan kesungguhan untuk melihat Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dari gejala rasuah.

Langkah ini juga akan memberi keyakinan yang lebih tinggi kepada pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia kerana saya percaya suruhanjaya ini akan memain peranan penting membendung sekaligus membenteras gejala rasuah di negara ini.

Terima Kasih Rakan Blogger

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan siber di luar sana kerana memberi ‘respon’ pada laman web saya ini. Meskipun baru empat hari berada di alam siber setakat malam ini sahaja saya menerima tidak lebih daripada 500 komen dari rakan-rakan dan teman di luar sana.

Bagi saya ini satu perkembangan yang sihat. Saya juga dapat merasai satu dunia baru, bilamana balik sahaja ke rumah, sebelum masuk tidor saya akan buka dan membaca satu persatu komen dan pandangan dari anda. Sudah tentu saya mengambil masa untuk membalasnya.

Namun, saya hargai dan sanjung tinggi pandangan, komen malah tidak kurang juga yang ‘mengherdik’ dan ada yang sampai ke tahap menghina dan mencaci. Apapun percayalah, saya membaca dan memahaminya.

Disini sukacita ingin saya maklumkan, ada komen yang saya tidak dapat ‘publish’ kerana ada yang menyentuh pihak ketiga, terlalu peribadi yang bukan ruang ini untuk dibicarakan dan yang berunsur fitnah, menghina dan mencaci. Tetapi saudara jangan bimbang, saya tidak akan ‘delete’ apatah lagi ‘spam’ komen saudara.

Saya amat berharap sekiranya boleh setiap komen dan pandangan yang terus menjurus kepada artikel yang saya tulis dan yang paling penting saya perlu sangat untuk mendengar dan membaca komen yang berkaitan dengan kementerian saya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta jabatan dan agensinya.

Utuk tujuan itu laman web ini akan di tambahbaikan lagi dengan memasukan ruang aduan mengikut jabatan dan agensi di bawah kementerian saya. Melalui pendekatan ini saya berharap rakyat di luar sana boleh berhubung terus dengan saya sekiranya ada perkara yang berkaitan dengan kementerian.

Semoga, saudara dan keluarga sentiasa sihat dan gembira menjalani kehidupan seharian. Salam

Umno Selangor dah buat pendirian, pandangan Dr.Khir, itu dianggap pandangan peribadi

Malam selasa lepas Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor telah membuat keputusan sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden dan Dato Seri Mohd Najib sebagai Timbalan Presiden.

Malah soal peralihan kuasa juga disentuh dan kami sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan kepada Pak Lah berbincang dengan Dato Najib, cara dan bila peralihan kuasa itu perlu berlaku.

Mesyuarat perhubungan malam selasa lepas di hadiri oleh semua ketua bahagian kecuali Dr, Mohd Khir, Ketua Bahagian Sungai Besar yang diwakili oleh Datuk Shukor.

Saya menyentuh perkara ini kerana ingin menjelaskan apa yang ditulis oleh Dr. Khir Toyo dalam blog Cetusan Dr. Mohd Khir yang meminta peralihan kuasa Perdana Menteri dan Presiden Umno dilakukan segera.

Bagi saya itu pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili pandangan dan pendirian Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor.

Dr. Khir tidak hadir dalam mesyuarat perhubungan saya difahamkan beliau berada di Tanah Suci kerana mengerjakan umrah.

Apapun, pendirian Umno Selangor jelas dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika ada selepas ini pandangan mana-mana pihak dari Selangor tentang perkara tersebut, saya anggap itu pandangan peribadi dan tidak boleh dianggap mewakili pendirian Umno Selangor.

Bagi saya, apa yang dialami oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu tidak sepatutnya dibeban dan dipersalahkan kepada Pak Lah seorang sahaja.

Sebagai Ketua Bahagian, Ketua Cawangan malah bagi negeri yang kalah Pengerusi Badan Perhubungan Negeri juga harus memikul dan mengambil tanggungjawab ini.

Bila negeri kalah, Perdana Menteri sahaja yang salah. Habis, apa tanggungjawab kita yang menjadi pemimpin diperingkat cawangan,bahagian malah negeri.

Buat salah, tak buat salah

Penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bukan bermakna kerajaan tunduk kepada tekanan pembangkang. Malah penubuhan tersebut sudah lama difikirkan oleh kerajaan.

Soalnya sekarang, apa yang dilakukan oleh kerajaan bukan terikut atau memenuhi tekanan pembangkang. Apa yang kerajaan lakukan setelah memikirkan keperluan dan kepentingan rakyat.

Pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak harus mendabik dada untuk meraih simpati rakyat bahawa apa sahaja perubahan atau pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan sebagai atas desakan dan usaha mereka.

Sebaliknya rakyat harus menilai bahawa jika berlaku sebarang pembaruan dalam dasar dan pentadbiran kerajaan semata-mata atas sifat prihatin kerajaan Barisan Nasional yang mementingkan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan bukan ditadbir melalui tekanan atau mengikut telunjuk pembangkang atau pihak-pihak lain di luar kerajaan. Ada juga apa yang disuarakan oleh pembangkang tetapi kerajaan merasakan perkara tersebut tidak membawa kebaikan untuk rakyat, kerajaan masih tegas dan berprinsip.

Rakyat jangan meletak kerajaan Barisan Nasional dibawah dasar ‘buat salah tak buat salah’, semata-mata hasil keputusan pilihan raya umum ke 12 baru-baru ini. Dan kita jangan terperangkap dengan dasar pembangkang yang cuba meraih sokongan kononnya sebarang pembaruan yang berlaku selepas ini hasil perjuangan mereka.

Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Pak Lah tidak perlu dan tidak akan terikat dengan tekanan dan desakan mana-mana pihak sebaliknya kita berpandu kepada keperluan rakyat berbilang kaum.

Utamakan agenda Melayu, lupa seketika politik kepartian

Bercakap tentang nasib dan masa depan bangsa Melayu kita sebenarnya melangkaui soal Umno, Pas atau PKR malah DAP. Bahkan bila menyentuh tentang nasib bangsa Melayu, tidak bermakna kita mula menyentuh soal perkauman.

Pisahkan erti perkauman bila membicarakan ‘survival’ bangsa. Parti politik seperti Umno, Pas atau yang terbaru PKR boleh disabitkan dengan soal masa depan bangsa Melayu kerana antara tiga kelompok parti ini ianya dianggap mewakili perjuangan bangsa Melayu.

Kalau mahu dikira siapa yang paling layak untuk membincangkan tentang hala tuju dan nasib bangsa Melayu, kita kira hanya Umno dan Pas setakat ini berhak dan layak membicarakan tentang nasib bangsa Melayu kerana dua parti ini secara total mewakili orang Melayu.

PKR atau Parti Keadilan Rakyat masih tidak berhak dan layak untuk memperkatakan tentang nasib bangsa Melayu kerana secara logiknya keahlian dan perjuangannya bukan untuk orang Melayu. Malah mereka sendiri mengakui bahawa PKR sebuah parti pelbagai kaum. Jadi soal orang Melayu serah pada Umno dan Pas untuk membincang dan memperkatakan tentang untong nasib orang-orang Melayu.

Selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) yang menyaksikan Barisan Nasional, parti gabungan tersebar yang diketuai oleh Umno kehilangan lima negeri dan gagal membentuk kerajaan majoriti 2/3, nasib dan masa depan orang Melayu mula dihantui kebimbangan.

Nada kebimbangan bukan sahaja datangnya dari Umno, yang dianggap tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pilihan raya kali ini, sebaliknya kebimbangan juga datang dari Pas. Secara rasional kita perlu bertanya, kenapa Pas perlu merasai kegusaran tentang nasib dan masa depan orang Melayu sedangkan parti tersebut bolehlah dianggap mencapai kemuncak kecemerlangan pada pilihan raya kali ini.

Kenyataan Presidennya Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang mempelawa Umno, PKR malah DAP untuk mula duduk semeja membincang dan membicarakan tentang nasib orang Melayu, harus dilihat dalam sudut positif meskipun kita tidak boleh menolak ‘niat’ politik, jika ada.

Pertama, kalau mahu berbicara soal menang, ternyata Pas boleh berbangga dengan prestasi partinya pada pilihan raya kali ini. Kalau orang menang, untuk apa perlu berbincang dengan orang yang kurang menang, walaupun tidak kalah.

Di sini nampak ada sedikit keikhlasan Pas. Walaupun menang tetapi demi masa depan bangsa sanggup untuk memulakan langkah untuk berbincang dengan Umno. Sepatutnya orang kalah yang akan memulakan langkah sebegini. Pas sanggup memulakan langkah ini ketika menang.

Namun, masih ada kemungkinan Pas merasakan walaupun menang dengan 23 kerusi parlimen, tetapi kemenangan tersebut masih kurang bermakna kerana terpaksa menumpang menang dengan pertolongan rakan lain seperti PKR dan DAP.

Apapun, kita anggap kesediaan Hadi Awang sebagai kesediaan demi masa depan orang Melayu dan bukanya demi masa depan Pas sahaja.

Ada kemungkinan, Hadi Awang sudah mula menyedari bahawa antara Umno dan Pas sudah tidak ada garis pemisah lagi. Kalau dahulu Pas memperjuangkan Negara Islam dan sekian lama sanggup berjuang sendirian dan hasilnya hanya mampu bertahan di Kelantan.

Tetapi pilihan raya kali ini setelah mencuba beberapa kali idea pakatan bersama rakan yang lain, akhirnya untuk kali ini Pas meraih kemenangan besar. Kejayaan mengekal kuasa di Kelantan serta merebah Barisan Nasional di Kedah serta menambah kerusi Parlimen sehingga 23 kerusi, menjadikan Pas mula berfikir, untuk menang tidak boleh bersendirian. Meskipun terpaksa bersama dengan DAP dan PKR.

Kalau ini sebenarnya yang sedang berlaku, apa bezanya Pas dengan Umno? Dan untuk apa Pas berada bersama Pakatan Rakyat kalau antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional juga tidak ada bezanya.

Ada kemungkinan lain, Hadi Awang sudah mula terasa kurang bernilai bersama Pakatan Rakyat yang diketuai oleh seorang wanita dengan dinasihati oleh sang suami. Atau, Pas hanya menurut segala keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat yang didominasi oleh PKR dan DAP.

Kalau dulu Pas menentang Umno kerana dianggap bekerjasama dengan bukan Islam dibawah pakatan BN. Hari ini, pakatan yang hampir sama dinaungi oleh Pas bersama Pakatan Rakyat. Sedangkan Pas tetap mahu memperjuangkan sebuah Negara Islam dan untung nasib orang Melayu.

Jika sudut ini dilihat, kita merasakan kenyataan Presiden Pas untuk memulakan perbincangan dengan Umno tentang nasib masa depan orang Melayu adalah permulaan yang baik. Pas bersedia mengenepikan sedikit perbezaan idelogi perjuangan demi masa depan orang Melayu.

Manakala disebelah Umno, Ketua Penerangannya Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib sudah menyambutnya. Meskipun kenyataan Tan Sri agak bersifat peribadi, namun huluran tangan Pas sudah bersambut. Ini bermakna bahawa tidak mustahil Umno dan Pas duduk semeja bagi membincangkan tentang masa depan Melayu walaupun terlalu awal untuk ‘mengusik’ samada mustahil atau tidak Pas dan Umno berada dalam satu gabungan.

Bagi Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bersetuju dengan cadangan Hadi Awang semata-mata melihat dan menyedari perlunya bangsa Melayu terus menjadi bangsa berdaulat dan bermaruah di bumi ini. Jika mahu di nilai dari segi politik Umno masih mampu mengetuai Barisan Nasional untuk terus memimpin Negara ini walaupun tanpa Pas. Tetapi kita yakin bahawa kesudian Muhammad Taib dalam perkara ini lebih bersandar kepada soal masa depan bangsa Melayu.

Eloklah selepas ini sekiranya ada tindakan susulan dalam memuktamadkan perkara ini kerana tidak ada jaminan bahawa Melayu akan terus mendominasi Negara ini sekiranya kelompok ini terus berpecah hanya semata-mata kerana fahaman sempit politik kepartian masing-masing.